Tuesday 12 July 2011

SINOPSIS ARTIKEL


Majalah web ‘Dunia Matematik’ menyediakan bahan pengetahuan matematik yang komprehensif menjangkau matematik di sekolah supaya pelajar dapat menerapkan sikap positif dan penghargaan terhadap matematik dalam komuniti Malaysia. Bagi membangunkan majalah web ‘Dunia Matematik’ ini, pembangun telah memilih model ADDIE untuk mereka bentuk. Rekabentuk pengajaran model ADDIE ini adalah suatu proses yang interaktif, kerana setiap fasa yang terdapat dalam model ini saling bergantung antara satu sama lain. Model ini mengandungi 5 fasa iaitu fasa analisis, fasa reka bentuk, fasa pembangunan, fasa perlaksanaan dan fasa penilaian.
Model ini membantu dalam membuat rangka kerja yang merangkumi proses yang perlu dijalankan sebelum membangunkan laman web, merancang reka bentuk laman web, membangunkan laman web, serta selepas laman web dilaksanakan. Untuk artikel pertama, pembangun memperkenalkan satu perisian sumber terbuka, OpenOffice.Org yang mana perisian ini hampir menyerupai Microsoft Office. Pembangun mengetengahkan fakta statistik dalam bangunan seperti bangunan Pentagon, Menara Berkembar Petronas dan Litar Antarabangsa Sepang. Jarak dan ukuran dalam pelbagai unit yang sebenar banyak dipaparkan. Perkenalan untuk setiap nama seperti hadlaju dan jarak berserta unit serta simbol yang betul merupakan idea utama artikel ini.
         Artikel kedua pula, pembangun memberi pendedahan tentang kegunaan salah satu komponen dalam Open Office.Org iaitu Open Office.Org Calc yang mana cara penghasilan carta pai dan graf ditunjukkan. Pembangun juga memaparkan rahsia matematik di sebalik padang bola sepak. Artikel ini diketengahkan supaya pembaca dapat mencari pelbagai ukuran dan bentuk geometri yang terdapat dalam padang bola sepak.
           Artikel ketiga, pengiraan nilai masa hadapan dan nilai masa kini ditunjukkan. Melalui ruangan ini pembaca dapat diperkenalkan dengan penyelesaian masalah mudah yang memaparkan kemahiran yang tinggi dalam menyediakan kewangan matematik menggunakan spreadsheet. Melalui artikel ini pembaca dapat mengetahui penanda aras mata wang dunia dan mengira sendiri kadar tukaran nilai mata wang. Konsep operasi darab dan bahagi antara perkara penting yang digunakan dalam pengiraan ini.
 Bagi artikel keempat, melalui Calc, penggunaan konsep pembezaan dalam matematik tambahan ditunjukkan dalam mencari luas maksimum yang boleh diperoleh untuk membina tembok atau pagar dalam sebuah kawasan kambing biri biri.
 Artikel kelima pula memperkenalkan satu perisian baru iaitu Babya.Wavettes. Perisian ini merupakan aplikasi perisian percuma yang mana ia boleh menghasilkan bunyi dari ayat matematik. Artikel berkenaan contoh-contoh filem dan drama yang menyiarkan jalan cerita berunsur matematik diperkenalkan. Aplikasi matematik yang digunakan turut dibincangkan dalam artikel ini.
 Artikel keenam merupakan artikel pertama tahun 2009. Edisi kali ini memperkenalkan kembali Open Office.Draw. Melalui perisian ini, gambar dan logo dapat dihasilkan sendiri. Aplikasi Unjuran Ortogon dalam subjek Matematik Moden turut diselitkan selain langkah-langkah untuk menghasilkan imej tiga dimensi.
Majalah web ‘Dunia Matematik’ yang dibangunkan ini mempunyai beberapa keistimewaannya yang tersendiri seperti menyediakan artikel yang memberi banyak maklumat dan menarik kerana disertakan dengan elemen-elemen multimedia seperti grafik, animasi dan video. Pembangun berjaya membangunkan majalah web ‘Dunia Matematik’ yang mesra pengguna. Pengguna bebas memilih topik yang ingin diterokai mengikut kemahuan dan keselesaan masing-masing. Ia menyediakan ruangan forum dan komen bagi membolehkan pengguna memberi maklum balas, berbincang dan berhubung jika terdapat sebarang pertanyaan mahupun masalah.

1 comment:

  1. terdapat kaitan antara matematik dalam pembangunan teknologi terkini..

    ReplyDelete